• Projek Mega Di Sibuti Siap Sebelum PRU14

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+

    MIRI: Semua projek mega yang diluluskan kerajaan bagi kawasan Parlimen Sibuti dijangka disiapkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai berkata, ianya termasuk projek yang lewat daripada jadual asal serta projek pembinaan Balai Bomba Niah, projek Jambatan Bekenu, dan menaik taraf jalan raya Rancangan Sepupok di bawah Projek Jiwa Murni.

    “Ia bagi memastikan semua projek yang sedang dalam proses pembinaan ketika ini tidak menjadi modal kepada pembangkang untuk menghentam kerajaan menjelang PRU14 kelak,” katanya dalam temu bual secara ekseklusif di pejabatnya semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo, hal ini menurutnya terdapat projek mega terlewat daripada jadual asal pembinaan disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan termasuk pelan reka bentuk, peruntukan dan sebagainya.

    “Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bahawa semua projek yang telah diluluskan ini akan disiapkan seperti mana yang telah dijanjikan kepada rakyat sebelum ini,” jelasnya.

    Di samping itu katanya, Projek Pan Borneo juga akan dilaksanakan di kawasan Sibuti meliputi jalan dari Jambatan Batu Niah sehingga ke kawasan Lambir (jalan lama).

    “Jalan berkenaan bukan hanya meningkatkan lagi jaringan perhubungan darat sedia ada di Sibuti tetapi pada masa sama bakal merancakkan lagi industri pelancongan dan pengangkutan,” ujarnya.

    Bagaimanapun katanya, terdapat juga aduan pemilik tanah yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang diterima dan menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan semula kadar pampasan.

    “Sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN), kita mahu semua isu yang melibatkan kepentingan rakyat diatasi dengan baik agar ia tidak menjadi modal kepada pihak pembangkang memburukkan kerajaan lebih-lebih lagi pada musim pilihan raya,” katanya. – Sarawakiana

  • No Comment to " Projek Mega Di Sibuti Siap Sebelum PRU14 "