• Prinsip Pembangkang Cuma Satu, 'If You Cannot Convince Them, Confuse Them' - Najib

    Published: Monday, 17 April 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Modus operandi pembangkang untuk menghasut rakyat membenci kerajaan adalah dengan mengelirukan minda masyarakat dengan dakyah palsu serta fitnah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, modus operandi tersebut dijangka akan berulang pra Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

    "Ingatlah bahawa pembangkang hanya berpegang kepada satu prinsip sahaja iaitu “If you cannot convince them, confuse them” (jika tidak boleh yakinkan mereka, kelirukan mereka).

    "Taktik kotor mereka amat jelas, jika mereka tidak dapat meyakinkan pengundi agar mempercayai janji-janji kosong atau kata-kata manis mereka, modus operandi mereka adalah untuk mengelirukan rakyat agar menimbulkan ketidakpercayaan serta kemarahan terhadap Kerajaan Barisan Nasional," katanya dipetik Blog beliau, pada Sabtu selepas pertemuan dengan aktivis media sosial pro BN.

    Justeru, Najib menggesa penggiat media sosial meluaskan lagi rangkaian alam maya dalam usaha menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.

    "Kita perlu tentukan kandungan dan mesej kita kepada rakyat dan berkongsi maklumat sesama kita agar ia dapat disebarkan dengan lebih meluas dan lebih berkesan lagi.

    "Kita mesti berusaha berkomunikasi dengan influencers dalam pelbagai bidang dan membina rangkaian kita agar mereka juga terlibat bersama dengan kita," kata Najib.

    Ujarnya, dua pilihan raya sebelum ini menjadi bukti bahawa media sosial memberi impak besar kepada BN ekoran pembangkang menggunakan alam maya untuk menyerang kerajaan.

    Tanpa bala tentera media sosial untuk menangkis dakwaan tersebut kata Najib, impak kepada BN jelas kelihatan.

    Kita sudah lama berada dalam ‘defensive mode’ (mod pertahanan). Cukuplah. It is now time to attack! (kini masa untuk menyerang!)," tegas Najib.

    Mengulas mengenai modus operandi pembangkang mengelirukan rakyat, penganalisis politik, Zakhir Mohamed memberi contoh lantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas sebagai antara taktik pembangkang mencetuskan persepsi negatif.

    Katanya, rakyat kini semakin bijak dalam menilai dakyah negatif oleh pembangkang yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Penasihat Pakatan Harapan di ruang maya.

    "Pembaca alam maya sudah mula meninggalkan Dr Mahathir ekoran manipulasi berterusan, pembohongan, fitnah dan paling utama, tidak konsisten dan sentiasa berkontradiksi," ujarnya dipetik blog beliau, bigdogdotcom.

    - Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Prinsip Pembangkang Cuma Satu, 'If You Cannot Convince Them, Confuse Them' - Najib "