• Polis Tahan Suspek Utama Kes Bunuh Pembantu Pengurus

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+



    MIRI – Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia disyaki suspek utama kes pembunuhan seorang pembantu pengurus projek berusia 45 tahun di Bekenu, dekat sini, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Miri, ACP Khoo Leng Huat berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 5.15 petang semalam di tepi jalan Kampung Skrat, KM124 Jalan Pesisir Miri-Bintulu.

    “Susulan tangkapan itu, polis merampas sebilah pisau badek berukuran 19sm berserta hulu dan sarung di sebuah rumah di kebun kelapa sawit di kawasan Batu Niah pada pukul 10 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Khoo berkata, polis akan membuat permohonan perintah tahanan reman terhadap suspek pada hari ini untuk membantu siasatan.

    Dalam kejadian pukul 8 malam, Sabtu lepas, mangsa, Yusuf Sidani berasal dari Sabah, dibunuh di hadapan sebuah kedai snuker di Kampung Kayu Kapur, Bekenu, manakala dua lagi lelaki warga Indonesia turut cedera akibat serangan menggunakan senjata tajam. – BERNAMA
  • No Comment to " Polis Tahan Suspek Utama Kes Bunuh Pembantu Pengurus "