• Polis Tahan Lelaki Cederakan Orang Guna Samurai

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+

    KUCHING: Seorang lelaki yang disyaki mencederakan seorang individu menggunakan pedang samurai ditangkap di kediamannya di Tabuan Laru di sini, malam kelmarin.

    Dalam kejadian sekitar jam 9 malam Ahad lalu, mangsa mengalami kecederaan akibat ditetak oleh suspek yang berusia 59 tahun menggunakan senjata tajam disyaki pedang samurai.

    Difahamkan, kereta milik mangsa turut dirosakkan dalam insiden tersebut.

    Mangsa berusia 27 tahun yang cedera di tangan kanan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.

    Bapa mangsa yang menerima maklumat berhubung kejadian, membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai memberitahu, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah masalah keluarga.

    “Bertindak atas laporan, pasukan polis melakukan tangkapan ke atas suspek di kediamannya sekitar jam 11.35 malam Ahad untuk membantu siasatan,” katanya.

    Abang Ahmad berkata sebilah pedang samurai berukuran 84 sentimeter yang disembunyikan di belakang rumah turut dirampas.

    Polis turut menemui kenderaan milik mangsa yang diletakkan di hadapan rumah suspek.

    Siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan masih diteruskan.-UB


  • No Comment to " Polis Tahan Lelaki Cederakan Orang Guna Samurai "