• Polis Sarawak Lumpuhkan Sindiket Dadah Antarabangsa

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+

    KUCHING: Satu sindiket dadah antarabangsa yang dipercayai aktif sejak akhir tahun lepas lumpuh ekoran penahanan dua individu pada 13 April lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN) Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata, suspek pertama seorang wanita berusia 25 tahun ditahan di pejabatnya di Jalan Rock pada jam 1.50 petang 13 April.

    “Bertindak atas maklumat, polis kemudian berjaya menahan seorang lagi suspek warganegara Nigeria  berusia 28 tahun seorang pelajar kolej swasta di Jalan Satok pada jam 4.50 petang hari yang sama,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pagi tadi.

    Menurutnya, serbuan dijalankan atas maklumat orang awam dan berdasarkan hasil siasatan awal mendapati ini bukan kali pertama sindiket terbabit melakukan kegiatan ini.

    Wanita berkenaan ditahan bersama bungkusan yang diposkan atas namanya mengandungi 962gram dadah jenis syabu yang dibalut dengan sehelai baju dan 1299 biji pil ectasy dibungkus dalam bekas plastik milo turut dirampas dengan anggaran rampasan sebanyak RM347, 300.00.

    Polis juga turut menyita sebuah kereta Perodua Kembara dengan nilai RM12,000.00.

    Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 14 April sehingga 21 April ini bagi menjalani siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Turut hadir bersama Timbalan Ketua JSJN Sarawak DSP Sekam Anoi dan Pegawai Turus (Operasi) JSJN Sarawak ASP Mohd Alpiyang Ali. -Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Sarawak Lumpuhkan Sindiket Dadah Antarabangsa "