• Polis Sarawak Giat Usaha Gempur Judi Haram

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+

    KUCHING: Polis Sarawak terus mempergiatkan usaha menggempur perjudian haram di negeri ini dari masa ke semasa.

    Dalam operasi yang dijalankan sejak 10 hingga 16 April lalu, seramai 46 individu ditahan dalam 26 serbuan di seluruh negeri dan kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 15 tahun hingga 57 tahun. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Dato' Dev Kumar berkata, sebanyak 21 daripada serbuan dijalankan adalah terhadap 4D haram di mana kawasan tumpuan adalah Kuching yang merekodkan 12 serbuan dan Padawan lima serbuan.

    “Dari 21 serbuan terhadap 4D haram membawa kepada penangkapan 29 individu dan rampasan wang tunai berjumlah RM4,338,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.

    Menurutnya, polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit, mesin cetak mudah alih, kalkulator dan alat tulis.

    Selain 4D haram, empat serbuan dilakukan terhadap judi siber di Miri yang membawa kepada penangkapan 11 individu dan rampasan 52 komputer digunakan untuk judi atas talian.

    Secara keseluruhan katanya, 12 serbuan dijalankan di tempat awam khasnya di kaki lima manakala lapan lagi di rumah kedai, empat di kedai kopi dan dua serbuan di kedai runcit dan polis turut merampas telefon bimbit, jadual perlumbaan kuda dan slip pertaruhan.

    Kesemua yang ditahan akan disiasat bagi kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953. - Sarawakiana



  • No Comment to " Polis Sarawak Giat Usaha Gempur Judi Haram "