• PM Najib Sempurna Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Bantu Golongan Tidak Berkemampuan

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri @ Sungai Udang di Segambut di sini yang bakal memanfaatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di sekitar ibu kota.

    Najib berkata projek perumahan itu julung kalinya memperkenalkan konsep sewa dan menyimpan dalam usaha membantu mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana yang bekerja di ibu kota untuk memulakan kehidupan.

    "Konsep yang unik ini yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mana akan menyewakan seunit rumah dengan harga RM800 sebulan kepada mereka yang layak dan daripada RM800 itu, sebanyak RM300 akan disimpan untuk dipulangkan semula kepada penyewa selepas lima tahun.

    "Sewa sebenar seunit ini hanya RM500 sebulan. Di tengah kota raya kalau ikutkan harga pasaran, tidak dapat sewa RM500 sebulan.

    "Ditambah pula, dengan force saving (kuasa menyimpan, yang mana selepas lima tahun penyewa akan dikembalikan dengan duit simpanan kira-kira RM18,000 dan duit itu boleh digunakan sebagai deposit membeli rumah," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

    Menurut Najib di samping pelbagai faedah yang bakal dimanfaatkan mereka yang layak, kerajaan juga telah menetapkan penyewa hanya dibenarkan menyewa untuk tempoh lima tahun sahaja bagi memberi peluang kepada penyewa lain.

    "Belum pernah konsep seumpama ini dilaksanakan di Malaysia dan inilah keistimewaan kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa fikirkan sesuatu yang baik untuk rakyat," ujar beliau.

    Turut hadir dalam program tersebut adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar.

    Najib berkesempatan melawat unit contoh yang telah disiapkan pemaju selain meninjau sendiri pelan pembangunan projek tersebut yang bakal memanfaatkan golongan yang betul-betul memerlukan.

    Projek Pangasapuri @ Sungai Udang dijangka siap pada Disember 2019 dengan pembinaan 1,251 unit merangkumi dua blok setinggi 32 tingkat dan satu blok setinggi 34 tingkat di tanah seluas 2.2 hektar.

    Ia hanya layak untuk disewa kepada golongan yang berpendapatan isi rumah di bawah RM10,000 yang bekerja di Kuala Lumpur.

    Setiap unit dibina dengan keluasan 807 kaki persegi mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. Pangsapuri itu juga dilengkapi dengan fasiliti-fasiliti seperti suaru, kolam renang dan dewan serbaguna. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PM Najib Sempurna Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Bantu Golongan Tidak Berkemampuan "