• Pesawat Khusus Malaysia Airlines Ke Makkah Akhir 2018

    Published: Monday, 17 April 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines bakal memperoleh enam pesawat khusus bagi membawa jemaah haji dan umrah pada akhir 2018.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew, berkata pesawat itu diubah suai dengan kemudahan ruang solat dan tempat wuduk bagi memberi keselesaan serta kemudahan kepada penumpang. Beliau berkata, pesawat pertama dijangka tersedia bagi penerbangan ke Makkah pada Disember 2018 dan Januari 2019.

    "Pesawat khas yang dikenali sebagai Project Hope ini membabitkan enam pesawat Airbus A380 yang diubah suai bagi pakej haji/umrah kami.

    "Kos dikekalkan kerana kami akan mempunyai pesawat besar dengan bilangan tempat duduk yang menjimatkan," katanya.

    Bellew berkata, syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat A380 ke Arab Saudi bagi jemaah yang mengerjakan haji/umrah dan ia berjaya.

    Ketika ini, Malaysia Airlines menyediakan pesawat dengan hanya bawah 500 tempat duduk dan perancangan pada 2018 adalah menambah sehingga 600 tempat duduk.

    "Justeru, kita akan dapat menguruskan penumpang dari Malaysia dan negara lain di dunia untuk mengerjakan haji dan umrah dengan pengurusan kos berkesan.

    "Projek ini akan mewujudkan kira-kira 600 hingga 700 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia untuk berkhidmat dengan pesawat baharu kerana kami memerlukan juruterbang, anak kapal dan jurutera baharu serta mewujudkan peluang sampingan di negara ini," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pesawat Khusus Malaysia Airlines Ke Makkah Akhir 2018 "