• Pertelingkahan WeChat Bawa Maut

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+


    SIBU: Seorang lelaki maut dalam pergaduhan yang melibatkan sekumpulan lelaki di Jalan Wong Kin Huo dekat sini awal pagi semalam.

    Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu, mangsa bersama rakan-rakannya sedang duduk di sebuah kedai kopi sebelum didatangi dua lelaki dan bertengkar kemudiannya didatangi sekumpulan lelaki lain membawa kayu dan besi.

    Insiden tersebut tercetus dipercayai bermula dari pertelingkahan mangsa bersama seorang individu yang juga ahli perniagaan dalam aplikasi sosial WeChat.

    Memetik laporan Bernama, mangsa yang dikenali sebagai Clement Tan Teck Howe, 29 yang merupakan seorang ahli perniagaan disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Sibu sekitar jam 5.22 pagi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan impak serangan dan asakan bertubi-tubi dari sekumpulan lelaki yang menyerang mangsa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahari Abdullah dipetik sebagai berkata, pihaknya tidak menolak jika ada penglibatan anggota kongsi gelap dalam kes berkenaan.

    “Pihak kami telah mengenalpasti kesemua 12 suspek yang melarikan diri dan kini sedang mengesan kesemua suspek bagi membantu siasatan, “ katanya

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Sarawakiana
  • No Comment to " Pertelingkahan WeChat Bawa Maut "