• Penjelajah Kutub Utara(KE7B) Akan Sampai Titik 90 darjah Sebelum Tengahari

    Published: Thursday, 20 April 2017
    A- A+


    Penjelajah Kutub Utara(KE7B) akan melakar sejarah sebentar lagi. Tiga penjelajah itu ialah ikon sukan lasak negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 35; atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah, 38; dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37 dijangka menjejakan kaki ke titik teratas kutub utara sebelum tengahari waktu Malaysia.

    Memetik kenyataan yang dimuat naik pada facebook Setiausaha Akbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles , pukul 3 pagi tadi waktu Malaysia saudara Qobin selaku Ketua Penjelajah memaklumkan perjalanan mereka berbaki 10 km sahaja lagi. Jika tiada halangan Inshaa Allah sebelum tengahari ini mereka akan sampai ke titik 90 darjah iaitu tempat paling utara di muka bumi ini.

    Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendoakan kejayaan tiga penjelajah Malaysia tersebut.

    Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa tiga penjelajah kita dijangka mampu tiba ke titik 90 darjah Kutub Utara lima hari lebih awal daripada jadual jika cuaca mengizinkan. Insya-Allah, sama-sama kita doakan mereka selamat dan berjaya menyempurnakan misi membawa nama #Negaraku Malaysia! katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.

    Titik 90 Darjah Kutub Utara merupakan titik paling utara di bumi. Ia terletak pada latitud 90 darjah utara dan semua garisan longitud bertemu pada titik itu dan pada kedudukan itu, setiap arah seseorang itu menghadap adalah selatan.

    Muhammad Muqharabbin, Shahrom dan Muhammad Irwan merupakan anggota Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) yang akan melakukan “Last Degree Ski” sejauh 111 kilometer, dan bakal mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia terawal menakluk Kutub Utara.

    Mereka berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lepas sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu.

    Mereka kemudiannya memulakan misi penjelajahan dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke Titik 90 Darjah itu..

    Sepanjang ekspedisi itu, mereka akan berski sambil menarik kereta luncur salji yang mengandungi barang-barang keperluan seperti peralatan khemah, bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 50 kilogram.

    Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Puncak 7 Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi Jelajah KE7B Felda Greenland dengan ski 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. - PRU14.tv

    Subjects:

  • No Comment to " Penjelajah Kutub Utara(KE7B) Akan Sampai Titik 90 darjah Sebelum Tengahari "