• Penasihat Pemimpin Negara Harus Sedia Terima Pandangan Orang Lain

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Penasihat kepada pemimpin negara harus berfikiran terbuka dan bersedia menerima pandangan orang lain, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana mereka memainkan peranan penting dalam membantu pemimpin mentadbir negara dengan lebih cemerlang

    "Penasihat yang baik harus menerima nasihat dari luar . Kalau menggunakan pemikiran yang terlalu jumud dan silo dan merasakan bahawa intelektual egoisme itu ada pada dirinya, tunggulah ketikanya bahawa keruntuhan akan berlaku.

    Ini kerana peranan penasihat ini penting untuk menentukan pola pemikiran seseorang pemerintah. Baik buruknya sesebuah daulah pemerintah adalah disebabkan penasihatnya. Dalam Hal Ini Imam Al-Ghazali merupakan satu contoh yang baik," katanya semasa melancarkan buku 'Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia' , karya Tan Sri Alies Anor Abdul, bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

    Ahmad Zahid berkata pembentukan sesebuah negara bangsa bukan hanya didorong kebijaksanaan raja dan pemerintah, tetapi turut dibantu pandangan daripada penasihat -penasihat mereka.

    "Kita lihat sejarah, bukan sahaja dalam kalangan negara Islam yang dahulunya berpaksikan kepada penasihat-penasihat yang baik tetapi oleh kerana kepentingan penasihat itu lebih menjurus kepada kepentIngan peribadinya dan tidak membuka ruang yang luas kepada pandangan lain, akhirnya secara automatik, bukan hanya personaliti itu jatuh tapi seluruh daulah itu jatuh," katanya sambil berharap agar hal itu tidak berlaku ketika ini.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata buku karya Alies Anor yang juga Pengerusi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) merupakan suatu kajian akademik yang sangat istimewa kerana memfokuskan mengenai sahsiah dan siasah.

    Buku setebal 266 muka surat itu, mengetengahkan peranan Imam Al-Ghazali sebagai penasihat ketika pemerintahan di zaman Bani Abbasyiah serta Umaiyah dan boleh dijadikan panduan dalam mentadbir sesebuah negara.

    Buku berkenaan sesuai dijadikan rujukan sebagai langkah mencungkil warisan pemikiran politik Islam dalam memberikan panduan pemikiran dan amalan bagi pentadbiran sesebuah negara. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penasihat Pemimpin Negara Harus Sedia Terima Pandangan Orang Lain "