• Pemuda Pakatan Sarawak Kemuka 5 Tuntutan

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+
    KUCHING: Pemuda Pakatan Harapan Sarawak (PHS) yang baru ditubuhkan semalam terdiri daripada Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPsY), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Amanah Sarawak tampil dengan lima tuntutan yang selaras dengan keperluan belia di negeri ini.

    Lima tuntutan tersebut ialah pengajian tinggi percuma, lebih banyak rumah mampu milik dibina, memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada golongan belia, meningkatkan gaji minimum untuk Sarawak serta Sabah setanding Semenanjung Malaysia dan melakukan perubahan ke atas Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti, lapor Utusan Borneo

    Wakil DAPsY Kelvin Yii yang bertindak sebagai juruicakap gabungan itu berkata, selama ini belia hanya menjadi pemerhati dan ‘budak’ dalam dunia politik dan sudah tiba masanya untuk golongan tersebut memperkasakan diri dengan memikul peranan lebih penting membentuk masa depan negara.

    “Suara pemuda seharusnya tidak hanya didengari tetapi mempengaruhi pembentukan dasar-dasar yang memberi kesan kepada belia dan keluarga serta pembangunan negara.

    “Berdasarkan kepercayaan ini, hari ini (semalam) kami bersatu dan mahu mencadangkan Manifesto Anak Muda Sarawak (MAMS) melibatkan lima tuntutan serta cadangan berhubung perkara yang memberi kesan kepada belia di negeri ini,” katanya

    Yii dipetik sebagai berkata, manifesto itu akan dikemukakan kepada kepimpinan Pakatan Harapan Sarawak berikutan manifesto sama untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

    “Selain itu kita juga bergerak bersama sebagai persiapan menghadapi PRU ke-14 menentang Barisan Nasional (BN) selain menghentikan amalan rasuah, penindasan dan tadbir urus yang tidak baik,” jelasnya. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Pemuda Pakatan Sarawak Kemuka 5 Tuntutan "