• Pembinaan Jambatan Igan Pacu Ekonomi Kawasan

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+

    MUKAH: Projek Pembinaan Jambatan Igan sepanjang 1.8 kilometer akan dimulakan tahun ini selepas selesai proses tender.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, sebanyak RM305 juta telah diluluskan untuk pembinaan projek tersebut yang kini sudah dalam proses tender. 

    "Jambatan Igan akan siap dalam tempoh 42 bulan iaitu pada Disember tahun 2020," kata beliau.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mula Kerja Pembinaan Masjid Daerah Matu, Cadangan Pembangunan Komersil Pelita dan Cadangan Projek Perumahan Rakyat di Dewan Suarah Matu, semalam, lapor Utusan Borneo

    "Kewujudan jambatan itu nanti bukan sahaja membuka peluang dan impak ekonomi kepada masyarakat di Matu namun pekan-pekan di sekitarnya seperti Daro dan Semop juga akan menikmatinya," ujar beliau.

    Di majlis yang sama, ketua menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM5 juta kepada pembinaan Masjid Daerah Matu yang pada tahun 2016 telah turut diperuntukkan sebanyak RM5 juta.

    "Kita mahu pembinaan masjid (berjumlah RM10 juta) itu menjadi lambang kekukuhan dan ekutuhan jemaah Islam di Matu dan di kawasan sekitarnya," tegasnya.

    Ketua Menteri yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi turut mengumumkan pembinaan Rumah Spektra Permata sebanyak 20 unit masing-masing di Matu dan Igan di bawah peruntukan dana Kerajaan Negeri Sarawak.

    "Kita akan bina 20 rumah di Matu dan 20 di Igan dan dinamakan Spektra Permata," jelas beliau.

    Abang Johari turut menyatakan bahawa beliau berjanji untuk terus mengemudi kepimpinan negeri dengan penuh tanggungjawab namun beliau turut meminta kerjasama serta kesatuan daripada setiap lapisan masyarakat. - Sarawakiana
  • No Comment to " Pembinaan Jambatan Igan Pacu Ekonomi Kawasan "