• Pembesaran Kampung Santubong Tidak Jejaskan Tapak Warisan Bongkissam & Bukit Maras

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+

    KUCHING: Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Santubong tidak menjejaskan Tapak Warisan Bongkissam dan Bukit Maras selain tiada artifak lama ditemui di kawasan tersebut.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini kerana artifak utama di kawasan terbabit sudah ditemui kurator Tom Harrison dahulu.

    Biarpun SPK tersebut terhenti sebelum ini menurutnya, rujukan yang dibuat dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan Jabatan Muzium Sarawak mendapati tiada lagi penemuan baharu di kawasan berkenaan.

    "Saya sudah merujuk dengan JTS dan Jabatan Muzium Sarawak. Setakat ini tiada penemuan baharu di kawasan ini.

    "Ini kerana artifak lama sudah ditemui kurator Tom Harrison," katanya kepada pemberita selepas Taklimat dan Lawatan Ke Tapak Bersejarah Kampung Santubong di sini, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) menjelaskan, kerajaan akan meneruskan SPK tersebut kerana tidak mengganggu kesan sejarah di Santubong.

    Beliau sebelum ini berkata, walaupun projek tersebut diteruskan namun batu besar yang terdapat di tapak berkenaan dibiarkan sebagai tanda penempatan penduduk kurun ke-19.

    "Saya akan cadangkan kepada kerajaan agar ia dikekalkan sebagai landskap sekaligus diwartakan.

    "Saya akan bawa wakil jabatan kerajaan terlibat untuk meninjau tapak lain di Kampung Santubong. Ini kerana sebahagian besar kawasan Santubong atau Semenanjung Damai adalah permulaan perdagangan luar ke Borneo," ujarnya.

    Malah menurutnya, Santubong juga terkenal sebagai tempat persinggahan seorang peminat alam sekitar atau saintis dikenali sebagai Alfred Russel Wallace yang berlayar seluruh dunia dan singgah di Santubong pada abad ke-18.

    "Beliau mengumpul flora dan fauna dan dibawa balik ke England. Kesan peninggalan beliau (Wallace) masih ada.

    "Pada masa akan datang kerajaan perlu lakukan usaha untuk mengesan jejak Wallace. Ini kesan sejarah yang kita mahu hidupkan kembali. Peninggalan sejarah memang ada di kawasan ini namun tidak didedahkan secara umum," jelasnya.-Sarawakiana



  • No Comment to " Pembesaran Kampung Santubong Tidak Jejaskan Tapak Warisan Bongkissam & Bukit Maras "