• Pembangkang Hanya Main Politik, SMK Singai Dijangka Siap Awal

    Published: Monday, 17 April 2017
    A- A+

    KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Singai, Bau yang dijangka siap lebih cepat daripada jadual membuktikan kerajaan berjaya membela nasib rakyat sekaligus menepis dakwaan pembangkang dengan mendakwa pemimpin Barisan Nasional (BN) menyebabkan projek tersebut tertangguh lama.

    Memetik laporan Sarawakvoice.com, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, hasil tinjauan mendapati kerja-kerja pembinaan sekolah terbabit berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

    Menurutnya, perkembangan projek itu amat menakjubkan apabila pembinaannya menunjukkan kemajuan 2 peratus untuk disiapkan lebih awal daripada jangkaan iaitu 24 April tahun depan.

    “Kita telah melihat kemajuan kerja yang baik. Secara fizikal, ia (kerja pembinaan) adalah 2 peratus lebih awal daripada jadual.

    “Kontraktor cuba melakukan yang terbaik untuk membolehkan projek ini disiapkan lebih awal daripada jadual iaitu sebelum akhir tahun ini,” katanya.

    Beliau menjelaskan, tarikh siap kontrak pembinaan projek itu ialah 24 April tahun depan, namun kemajuan kerja yang ditunjukkan kontraktor memungkinkan ia mampu disiapkan lebih awal daripada jadual.

    Henry menambah, kelancaran pembinaan projek itu sekali gus menepis dakwaan pembangkang BN gagal melaksanakan tanggungjawab memberi kemajuan kepada rakyat seperti dibangkitkan semasa Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) yang lalu.

    “Pada PRN-11, pembangkang mempolitikkan isu pembinaan SMK Singai yang tertangguh untuk memburukkan kerajaan BN.

    “Ketika itu, pembinaan sekolah itu agak lama tertanggguh gara-gara kegagalan kontraktor lama yang dilantik gagal meneruskan pembinaan, namun masalah itu selesai apabila kerajaan melantik kontraktor baharu,” ujarnya.

    Projek pembinaan SMK Singai yang dilancarkan pada 2011, dijadualkan siap pada April 2015, namun tertangguh sehinggalah Kementerian Pendidikan melantik kontraktor baru untuk meneruskan projek itu pada April tahun lalu.-Sarawakiana
  • No Comment to " Pembangkang Hanya Main Politik, SMK Singai Dijangka Siap Awal "