• PDRM Tunggu Laporan Polis Pattaya

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu laporan rasmi daripada Polis Thailand berhubung dakwaan Peter Chong yang mengatakan beliau diculik di negara itu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tindakan selanjutnya hanya akan diambil selepas mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa Thailand.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan Chong sebaliknya berkata, pihaknya perlu menyemak fakta terlebih dahulu dan tidak boleh sekadar membuat andaian tanpa mempunyai bukti.

    "Kita sedang semak dengan polis Pattaya pula. Kita perlu tunggu maklum balas mereka sebelum buat apa-apa tindakan lanjut," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2016 di Mes Pegawai Bukit Aman, di sini, sebentar tadi.

    Khalid berkata, kehilangan Chong tidak mempunyai kaitan dengan kes tiga lagi individu yang dilaporkan.

    Mereka adalah paderi Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth yang hilang di Petaling Jaya pada 6 Mac lalu serta Amri Che Mat di Padang Besar, Perlis pada 24 November 2016.

    Khalid turut menyifatkan tindakan Chong menghilangkan diri hanya menggemparkan masyarakat dan membazir masa polis.

    "Kita pun tak tahu apa sebab dia buat macam tu. Dia (Chong) hanya bazirkan masa polis," katanya.

    Semalam, Ketua Polis Hatyai, Kolonel Kittichai Sankatavorn, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu dan akan membuat laporan terhadap lelaki itu atas dakwaan mereka cerita palsu, sekiranya terbukti tiada laporan polis berhubung penculikan seperti didakwa.

    Chong dilaporkan hilang pada 6 April lalu mendakwa dia diculik di Hatyai sebelum dibawa ke Pattaya, selepas memasuki Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada 7 April lalu.

    Dia mendakwa dibebaskan selepas itu dan pulang ke tanah air kelmarin.-BH

    Subjects:

  • No Comment to " PDRM Tunggu Laporan Polis Pattaya "