• OKU Disaran Bekerja Untuk Raih Lebih Elaun Kerajaan

    Published: Tuesday, 25 April 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi sebarang bidang pekerjaan supaya mendapat lebih banyak bantuan elaun daripada kerajaan.

    Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata mereka akan menerima elaun khas sekiranya menceburi apa-apa bidang pekerjaan, sekali gus dapat membantu menangani kos sara hidup semasa.

    "Kita akan cuba bantu golongan ini termasuk mengesyorkan mereka menceburi bidang latihan yang diadakan pihak kementerian supaya dapat berdikari dan mempunyai pekerjaan sendiri," katanya kepada media selepas majlis Pelantikan Anggota Majlis Kebangsaan Bagi OKU (Individu) baharu di pejabatnya, di sini hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Rose Lena Lazemi dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh.

    Seramai 10 anggota Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (Individu) menerima watikah pelantikan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2017 hingga akhir Disember 2018.

    Pemilihan anggota majlis ini adalah berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki melalui persatuan ataupun pertubuhan yang diceburi masing-masing.

    Rohani berkata, anggota majlis itu turut berperanan menyelia pelaksanaan dasar negara termasuk menyarankan kepada kerajaan bagi melaksanakan syor berhubung isu seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, pembangunan, rehabilitasi, dan kesejahteraan golongan OKU.

    Beliau, yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi OKU, berkata pada kali ini pihaknya turut memasukkan wakil golongan OKU Kerdil supaya mereka dapat turut serta menyuarakan pandangan secara langsung melalui majlis berkenaan.

    "Kita berharap tidak ada wakil kumpulan dari kalangan OKU tertentu yang tercicir menyertai anggota majlis ini dan berharap dapat mendengar pandangan bagi membantu menambah baik keperluan mereka pada masa hadapan," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " OKU Disaran Bekerja Untuk Raih Lebih Elaun Kerajaan "