• NZ Anggap Malaysia Pintu Masuk Strategik

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Malaysia dilihat sebagai pintu masuk strategik untuk New Zealand meneroka pasaran perdagangan ASEAN. 

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata perkara itu dinyatakan Menteri Perdagangan New Zealand, Todd McClay, yang melakukan kunjungan hormat di bangunan Parlimen di sini, hari ini. 

    Abdul Rahman berkata, usaha meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara turut dibincangkan dalam pertemuan itu, susulan pertumbuhan 20 peratus sejak Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dilaksanakan pada 2010. 

    "Antara isu utama dibincangkan dalam pertemuan itu adalah untuk meningkatkan jumlah pelancong kedua-dua negara, selain yang menjurus kepada pelan tindakan selepas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). 

    "New Zealand turut menyatakan minat mahu meneroka pasaran ASEAN dan melihat Malaysia sebagai pintu masuk strategik bagi tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

    Abdul Rahman berkata, kira-kira 77 peratus daripada import New Zealand adalah produk makanan dan pertanian yang diproses. 

    Justeru, katanya, Malaysia berminat bekerjasama dari segi teknologi dan menimba pengetahuan serta kepakaran New Zealand untuk meningkatkan sektor pertanian di negara ini. 

    "Oleh kerana ini adalah lawatan pertama McClay ke Malaysia, saya mengalu-alukan kedatangan beliau untuk lawatan seterusnya dalam masa terdekat, khususnya melihat peluang perniagaan di Sabah, sekali gus merancakkan perdagangan serta aktiviti ekonominya. 

    "Sejak TPPA tidak dilaksanakan, tiada masa yang lebih baik bagi kedua-dua negara duduk semeja dan meneroka idea baharu yang dapat memberi kelebihan bersama," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " NZ Anggap Malaysia Pintu Masuk Strategik "