• Misi KE7B Tercapai Lima Hari Awal

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Tiga penjelajah negara yang menyertai Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Kutub Utara 2017 berjaya menamatkan misi ke titik 90 darjah Kutub Utara pada 11.06 minit malam tadi (waktu Malaysia) atau 5.06 petang waktu Kutub Utara.

    Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, Mohd Irwan Yusoff Abdullah dan Shahrom Abdullah, berjaya menamatkan misi dalam tempoh enam hari, berbanding 11 hari mengikut jadual asal.

    Beliau berkata, kejayaan itu dimaklumkan sendiri oleh Qobin menerusi panggilan telefon satelit malam tadi.

    “Alhamdulillah, negara kita sekali lagi mencatat sejarah dengan kejayaan Qobin, Shahrom dan Mohd Irwan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Berdasarkan perancangan asal, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji sejauh 111 kilometer (km) memerlukan masa 11 hari dari Stesen Barneo ke titik 90 darjah Kutub Utara.Â

    Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri berkata, kejayaan menamatkan penjelajahan itu juga hadiah cukup bermakna buat Qobin yang menyambut hari ulang tahun kelahirannya ke-35 semalam.

    "Qobin memaklumkan baki tiga kilometer terakhir menuju ke titik 90 darjah adalah penjelajahan yang disifatkan paling mencabar.

    "Mereka terpaksa berdepan rekahan ais yang lebar,"katanya.

    Kumpulan penjelajah negara berlepas ke Oslo, Norway, 4 April dan berada di Longyearbyen, Svalbard, Norway, selama seminggu untuk latihan sebelum memulakan ekspedisi.

    Ekspedisi ke Kutub Utara adalah itu yang keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010; Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012; Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013; Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016.-HM

    Subjects:

  • No Comment to " Misi KE7B Tercapai Lima Hari Awal "