• MAS Akan Mampu Jejaki Pesawat Pada Masa Sebenar, Peringkat Global

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+


    SINGAPURA: Semua pesawat Malaysia Airlines akan mempunyai akses data menjejaki pesawat bagi setiap minit dan 100 peratus global menerusi penggunaan sistem perisian AIRCOM FlightTracker disediakan SITAONAIR.

    Malah, Malaysia Airlines akan menjadi pelanggan pertama SITAONAIR untuk meraih manfaat itu menerusi jalinan kerjasama penting usaha jejak pesawat membabitkan tiga pihak iaitu SITAONAIR, Aireon dan FlightAware.

    Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sebelum ini menetapkan semua syarikat penerbangan (mempunyai kemudahan) menjejaki pesawat masing-masing bagi setiap 15 minit mulai November 2018.

    "Usaha menjejaki pesawat global pada masa sebenar sememangnya sudah lama menjadi sasaran kalangan komuniti penerbangan.

    "Malah, MAS berbangga menjadi (syarikat) penerbangan pertama yang menggunakan (sistem)penyelesaian data Automatik Pemantauan-Penyiaran (ADS-B) berasaskan ruang angkasa yang menjadi sebahagian AIRCOM FlightTracker," kata Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

    Kaedah penyelesaian itu akan mempertingkatkan AIRCOM FlightTracker sedia ada dengan menambah data ADS-B Aireon kepada data semasa yang diperolehi daripada pelbagai sumber global FlightAware.

    Pada masa sama, ia turut melengkapi data aktiviti Sistem Pengemudian Udara Masa Depan (FANS) Penyedia Perkhidmatan Pengemudian Udara (ANSP) yang aktif.

    Menerusi penggunaan data ini, pusat operasi pesawat Malaysia Airlines akan menerima maklumat kemaskini kedudukan sebenar semua pesawatnya di seluruh dunia.

    "Malah, menerusi akses pelaporan minit (terkini), Malaysia Airlines dapat mengetahui aspek kedudukan, haluan, kelajuan dan paras (kedudukan) semua pesawat, pada setiap masa serta peka kepada sebarang kemungkinan," kata Pengarah Portfolio AIRCOM di SITAONAIR, Paul Gibson.

    Data Aireon ADS-B berasaskan ruang angkasa itu juga dapat menyelesaikan sebarang jurang penerimaan liputan data sedia ada, terutamanya di kawasan ruang udara dan lautan terpencil yang tidak memiliki sebarang pengawasan pada ketika ini.

    Tiada sebarang aspek avionik atau pengubahsuaian baharu perlu dilakukan ke atas pesawat untuk memanfaatkan perkhidmatan baharu ini.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FlightAware, Daniel Baker berkata Malaysia Airlines akan mendapat keupayaan menjejaki pesawat pada masa sebenar dengan lebih lancar, termasuk di kawasan yang tidak dipantau oleh pihak ANSP pada masa ini.

    "Ini bermakna Malaysia Airlines akan mendapat gambaran lebih menyeluruh serta jelas mengenai lokasi sebenar pesawatnya," katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aireon, Don Thoma pula menyifatkan Malaysia Airlines telah memainkan peranannya sebagai peneraju dalam industri itu sejak tragedi yang berlaku pada 2014.

    "Aspek menjejaki pesawat pada masa sebenar dan pada bila-bila masa di pelusuk dunia akan mempertingkatkan matlamat keselamatan. Ini akan membolehkan Malaysia Airlines menjejaki pesawatnya di mana-mana pada bila-bila masa," katanya.

    Pada November 2016, Aireon, FlightAware and SITAONAIR telah mengumumkan kerjasama baharu untuk melaksanakan data Aireon menerusi FlightAware kepada pelanggan SITAONAIR.

    Sebaik sistem Aireon itu beroperasi yang dijadualkan pada 2018, pesawat-pesawat yang sudah menggunakan AIRCOM FlightTracker SITAONAIR akan secara automatik dapat melihat data baharu Aireon terpampang pada sistemnya.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " MAS Akan Mampu Jejaki Pesawat Pada Masa Sebenar, Peringkat Global "