• MARA Inc: Shafie Akan Dipanggil Kika Perlu - SPRM

    Published: Thursday, 20 April 2017
    A- A+
    ISKANDAR PUTERI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan memanggil Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) di Australia. 

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata pihaknya akan memanggil bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu jika ada keperluan untuk berbuat demikian. 

    "Kita melihat dari segi keperluan siasatan yang kita jalankan. Jika ada keperluan, kita panggil sesiapa sahaja, tidak semestinya beliau (Mohd Shafie). 

     "Sesiapa sahaja yang boleh beri keterangan atau terbabit dalam siasatan yang dijalankan, kita akan panggil untuk beri keterangan," katanya. 

     Dzulkifli berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), yang diketuai Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama sembilan EXCO Kerajaan Negeri Johor, di sini, hari ini. 

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Mohd Shafie akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan MARA Inc. 

    Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki, berkata siasatan MARA Inc dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini susulan maklumat baharu diterima pihaknya. 

     Katanya, setakat ini, 24 saksi telah dipanggil dan pihaknya sudah menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi, termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat MARA serta yang berkaitan dengannya, selain merampas banyak dokumen. 

    Syarikat pelaburan MARA sebelum ini terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membayar harga yang lebih tinggi daripada pasaran ketika membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne. 

     Akhbar terbabit mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' ketika itu terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi pembelian blok pangsapuri yang dibuat pada 2013. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " MARA Inc: Shafie Akan Dipanggil Kika Perlu - SPRM "