• Lepas Gian Di Pondok Kebun, Dua Dicekup

    Published: Thursday, 20 April 2017
    A- A+
    gambar hiasan

    LAWAS: Tindakan dua sekawan menjadikan pondok kebun sebagai ‘port’ aktiviti penyalahgunaan dadah memakan diri apabila diberkas polis dalam serbuan di Kampung Long Ugui dekat sini tengah malam kelmarin.

    Kedua-duanya suspek lelaki berusia 35 dan 45 masing-masing dari Long Sebangang A Lawas ditahan jam 11.30 malam ketika berada di dalam pondok kebun terbabit.

    Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam serbuan itu polis menjumpai keratan straw berwarna biru muda dan satu keratan straw berwarna hijau muda mengandungi hablur kristal dipercayai syabu dalam bilik tidur pondok tersebut.

    “Dadah seberat 0.8 gram turut dirampas daripada suspek terbabit. Mereka juga positif Amphethamine dan Methamphethamine selepas saringan awal polis kelmarin,” katanya kepada media semalam.

    Sementara itu seorang lelaki berusia 52 tahun turut ditahan selepas positif Amphethamine dan Methamphethamine di sebuah bilik sewa di atas sebuah kedai di bandar ini.

    Dalam serbuan jam 8.10 malam itu suspek dari Trusan ditahan bersama satu keratan tiub straw berwarna merah jambu yang mengandungi dadah dipercayai syabu disimpan dalam poket seluar dipakainya.

    Katanya lagi dua lagi suspek lelaki dari Kampung Seberang Mission dan Kampung Buduk Bui Bakelalan Lawas turut ditahan dalam serbuan berasingan kelmarin.

    Suspek berusia 23 dan 21 tahun yang juga penganggur ditahan dan kedua-dua mereka turut positif Amphethamine dan Methamphethamine.

    Abang Zainal menambah kebanyakan suspek yang ditahan dalam serbuan itu mempunyai rekod kesalahan sama dan pernah ditahan sebelum ini.

    Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.-UB
  • No Comment to " Lepas Gian Di Pondok Kebun, Dua Dicekup "