• KPM Tidak Kompromi Pelajar Terbabit Kongsi Gelap

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+

    KUALA KANGSAR: Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi terhadap pelajar yang terbabit dalam kegiatan jenayah kongsi gelap.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu adalah jenayah serius dan pihak kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan.

    "Kementerian tidak akan berunding (dalam isu itu) kerana elemen jenayah itu sudah wujud dan perkara itu sudah pun disahkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar).

    "Cuma saya nak beri nasihat kepada ibu bapa supaya dapat tolong dan pantau aktiviti anak.

    "Sekolah tidak akan bertanggungjawab kerana ia (jenayah kongsi gelap) bukan berlaku dalam kawasan sekolah, jika berlaku dalam kawasan sekolah boleh kita bagi kaunseling dan panggil," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan 2.0 Parlimen Kuala Kangsar di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan 13 pelajar yang ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) kerana menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24 di Klang, Selangor.

    Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya, pagi ini.-BHarian


    Subjects:

  • No Comment to " KPM Tidak Kompromi Pelajar Terbabit Kongsi Gelap "