• Kidurong Bakal Miliki Kompleks Metanol

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan melengkapkan (EPCC) Projek Derivatif Metanol Sarawak antara Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) dengan konsortium China Huanqiu Contracting & Engineering Co. Ltd. (HQC) dan MACfeam Sdn Bhd ditandatangani di Hotel The Ritz-Carlton di sini semalam.

    MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Pengerusi YBHS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain dengan Timbalan Presiden Eksekutif Kumpulan HQC Zhang Laiyong dan Timbalan Pengerusi MACfeam Sdn Bhd Datuk Amir Daniel Abdullah.

    MoU itu antara lain bertujuan mewujudkan hubungan kerjasama selain memastikan kerjasama antara YBHS dengan konsortium HQC-MACfeam terhadap kerja EPCC Projek Metonal Derivatif Sarawak berjalan lancar. 

    Ia juga bertujuan memastikan projek tersebut dapat direalisasikan dalam tempoh singkat. 

    Keseluruhan projek berkenaan dijangka dijalankan dalam tempoh 7 hingga 20 tahun dengan jumlah pelaburan melebihi AS$2 bilion (RM8.82 bilion).

    Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.

    Menurut Abang Johari, projek Metanol Derivatif Sarawak itu akan memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi selain memanjangkan rantaian nilai industri minyak dan gas untuk Kerajaan Negeri Sarawak.

    “Pada masa sama projek itu turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan semasa projek itu dijalankan dan operasi masa depan. 

    “Projek di Kidurong, Bintulu ini bakal mengeluarkan gas metanol sebanyak 5,000 tan metrik sehari yang mana kita mempunyai gas yang terdapat di perairan Sarawak dengan kerjasama daripada pihak Petronas dan kerajaan Negeri.

    “Saya rasa ini bukan sahaja satu projek yang yang akan memberi hasil yang baik bukan sahaja untuk kerajaan negeri kerana ia mampu membantu meningkatkan ekonomi negara sekali gus dapat mengeratkan hubungan dengan China,” katanya.

    Tambah beliau lagi, melalui projek ini juga sudah tentu tranformasi teknologi akan berlaku di antara pihak yang akan membina kilang ini dengan anak tempatan sekali gus akan membuka peluang yang lebih besar buat mereka.

    “Pada masa akan datang, kemungkinan kita juga akan membangunkan lagi fasa kedua di mana derivatif daripada metanol seperti MTBE akan dibangunkan di kawasan tersebut.

    “Saya juga telah berunding dengan pihak Petronas supaya kawasan Kidurong ini menjadi kluster kilang-kilang yang berasaskan kepada gas kerana ia akan memberi impak positif kepada industri di Malaysia terutama Sarawak dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada kita untuk bersaing dalam industri minyak dan gas.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih pada Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak dan pihak Petronas kerana telah dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak kerana projek seperti ini dapat memberi impak yang besar dalam membangunkan ekonomi kita bersama.

    “Selain itu, ia juga dapat menjalinkan hubungan dengan negara China dan Malaysia,” katanya.

    Kompleks metanol pertama ini dijadualkan akan beroperasi menjelang tahun 2021 di Kidurong, Bintulu dengan keluasan 200 ekar.- Utusan Borneo
  • No Comment to " Kidurong Bakal Miliki Kompleks Metanol "