• Kerajaan Naik Taraf Jalan Pesisir Empat Lorong

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+

    SADONG JAYA: Kerajaan Negeri akan menaik taraf jalan pesisir pantai sedia ada di negeri ini yang hanya mempunyai dua lorong kepada empat lorong.

    Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekita Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perkara tersebut dalam perancangan dimana kerajaan negeri telah mempersetujui dan meluluskannya secara meluas dasar.

    “Selain itu, sebahagian laluan pesisir pantai yang terputus oleh sungai dan hanya dihubungkan dengan feri juga akan dibina jambatan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Skim Pembesaran Kampung Jemukan di sini, semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Awang Tengah memaklumkan pembinaan jalan pesisir pantai telah dimulakan sejak di bawah kepimpinan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri (kini Yang di-Pertua Negeri) dan ia terus ditingkatkan oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem serta Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

    Menurutnya, hasil daripada itu, ia telah membuka banyak kawasan luar bandar yang sukar dihubungi serta membantu meningkatkan ekonomi masyarakat.

    “Dalam hal ini, kita akan meneruskan usaha menambah baik jalan pesisir pantai bagi meningkatkan lagi ekonomi masyarakat di luar bandar,”ujarnya.

    Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan berkata jalan pesisir pantai yang baik juga akan melengkapi dasar Abang Johari untuk mempertingkatkan lagi infrastruktur telekomunikasi di negeri ini.

    Katanya ini secara langsung akan menyediakan kemudahan yang baik kepada masyarakat di luar bandar khususnya bagi menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup.

    “Dengan adanya penyediaan yang baik dari segi telekomunikasi dan jalan raya, maka masyarakat di luar bandar akan lebih mudah untuk mempromosi dan memasarkan produk atau hasil pertanian, penternakan, perikanan dan sebagainya ke kawasan luar,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Naik Taraf Jalan Pesisir Empat Lorong "