• Kemelut Calon Presiden BAM Selesai

    Published: Thursday, 20 April 2017
    A- A+
    Image result for Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
    KUALA LUMPUR: Kemelut pemilihan jawatan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selesai selepas dua calon, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid dan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bersemuka, petang semalam. 

    Norza yang juga Timbalan Presiden BAM mengesahkan mereka sudah mencapai persefahaman berhubung kemelut bagi menduduki jawatan nombor satu badan induk itu. 

    Bagaimanapun, katanya mereka perlu bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi memaklumkan perkembangan terkini berkenaan. 

    "Sebagai menghormati menteri, kami akan bertemu dengan beliau bagi memaklumkan mengenai perkembangan ini. Apa yang saya boleh katakan, isunya sudah selesai kerana kami sudah mencapai persefahaman. 

    "Apa yang kami bincangkan dalam pertemuan hari ini akan dimaklumkan kepada menteri dan selepas itu kami akan umumkan kepada pihak media," kata Norza ketika dihubungi, sebentar tadi. 

    Sementara itu, Al Amin yang juga Pemangku Presiden BAM ketika dihubungi, berkata pertemuan itu berlangsung dalam suasana yang baik dengan kepentingan badminton negara kekal menjadi keutamaan mereka. "Kami sudah mencapai persefahaman dalam hal ini. 

    "Disebabkan kami ada bertemu dengan menteri (secara berasingan) sebelum ini, jadi adalah lebih elok jika kami maklumkan kepada beliau dulu, selepas itu kita akan umumkan," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Kemelut Calon Presiden BAM Selesai "