• Kanak-Kanak Parah Terjun Guna Payung Kerana Pengaruh Cerita Kartun

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+


    Tidak dapat dinafikan, sejak dari dahulu sehingga kini, rancangan kartun mampu menarik minat golongan kanak-kanak sehinggakan kebanyakan masa dihabiskan untuk menonton animasi tersebut berbanding rancangan lain.

    Terdapat kartun yang mempunyai unsur-unsur yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran, namun ada juga yang boleh mempengaruhi minda kanak-kanak, sehingga segala aksi yang dipamerkan dalam rancangan tersebut mahu ditiru dalam dunia realiti.

    Itu yang berlaku kepada seorang kanak-kanak lelaki di Suzhou, China selepas dia mengalami kecederaan parah akibat terjun dari tingkat 10 di pangsapuri rumahnya menggunakan payung, dipercayai cuba meniru aski kartun yang ditonton.

    Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu memutuskan untuk mencuba aksi tersebut selepas menonton sebuah rancangan kartun yang memaparkan satu watak kartun melompat dari tempat tinggi menggunakan payung bagi menggantikan payung terjun, selamat mendarat, lapor portal Shanghaiist, pada Khamis.

    Imaginasi yang dibayangkan oleh kanak-kanak itu bahawa payung boleh menyelamatkan dia ketika melakukan aksi terjunan tidak menjadi ‘realiti’ apabila payung yang digunakannya tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

    Akibatnya, mangsa terjatuh dengan laju mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius.

    Menurut seorang doktor bedah yang merawat kanak-kanak terbabit, mangsa berada dalam keadaan kritikal.

    Pada 2013, insiden yang sama turut berlaku melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Shenzhen yang bertindak terjun dari tingkat enam menggunakan payung kerana mendapat inspirasi dari rancangan kartun.

    Insiden sebegini diharapkan boleh dijadikan iktibar kepada ibu bapa untuk lebih memantau aktiviti harian anak-anak, agar tidak terlalu terpengaruh dengan aksi ‘tidak logik’ yang dipamerkan dalam rancangan kartun. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Kanak-Kanak Parah Terjun Guna Payung Kerana Pengaruh Cerita Kartun "