• Jumlah Penjawat Awam Munasabah - KPPA

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Jumlah penjawat awam di negara ini adalah munasabah dengan nisbah satu penjawat awam kepada 19 penduduk, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

    Mengulas dakwaan lambakan penjawat awam di negara ini yang dibangkitkan dalam laporan The Edge Market, beliau menjelaskan, definisi penjawat awam di negara ini adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan iaitu turut merangkumkan tiga sektor iaitu perkhidmatan kesihatan (doktor dan jururawat), keselamatan (tentera dan polis) dan pendidikan (guru).

    Beliau berkata adalah tidak adil untuk membandingkan nisbah itu dengan negara lain yang tidak merangkumkan tenaga kerja dalam tiga sektor berkenaan sebagai penjawat awam.

    "Di beberapa negara maju nisbah penjawat awam tidak banyak berbeza malah lebih tinggi jika turut merangkumkan tiga sektor terbabit, dengan United Kingdom (1:18), Amerika Syarikat (1:14), Australia (1:12) dan New Zealand 1:13.

    "Jika tiga sektor berkenaan tidak dirangkumkan sebagai penjawat awam seperti negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia nisbah penjawat awam negara ini adalah 1:44. Ini menunjukkan jumlah penjawat awam kita adalah munasabah dan mengikut keperluan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    "Jumlah keseluruhan guru, tentera, polis dan doktor dan jururawat sehingga 31 Mac lalu adalah 917,210 yang mana ia adalah 57 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam seluruh negara," katanya pada sidang media di sini hari ini sempena genap 100 hari perkhidmatannya pada 25 April nanti.

    The Edge Market sebelum ini menyebut emolumen kerajaan akan meningkat kepada kira-kira RM184 bilion pada 2027 berbanding RM77.42 tahun ini kerana bilangan penjawat awam yang ramai. -BH

    Subjects:

  • No Comment to " Jumlah Penjawat Awam Munasabah - KPPA "