• JKDM Kesan Syarikat Tipu GST

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+
    Image result for Kastam
    SUNGAI PETANI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendedahkan segelintir syarikat perniagaan dikesan culas dalam soal pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di negeri ini. 

    Selain tidak menjelaskan bayaran walaupun penyata GST dihantar kepada JKDM, ada peniaga dikesan menipu pengguna dengan tidak mengeluarkan resit untuk mengaut cukai yang dikenakan kepada pengguna, sedangkan ia tidak dimasukkan dalam data GST. 

    Pengarah JKDM negeri, Johari Alifiah, berkata ia antara taktik digunakan premis atau syarikat perniagaan untuk mengelak GST, terutama yang berurusan secara dalam talian. 

    "JKDM membuat siasatan mengenai kegiatan ini khususnya membabitkan peniaga yang tidak menjelaskan GST walaupun penyata sudah diserahkan. 

    "Mereka boleh dikenakan tindakan kerana melanggar Akta GST 2014 dan didenda sehingga RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

    "Syarikat juga boleh dikenakan penalti 10 peratus untuk 30 hari pertama dan jumlah itu boleh meningkat sehingga 40 peratus," katanya selepas melancarkan Ops Kesan 1/2017 di sini, hari ini. 

    Ops Kesan bermula hari ini sehingga 30 April membabitkan 15 pegawai Unit GST JKDM, bertujuan mengesan syarikat dan peniaga yang belum atau enggan berdaftar dengan JDKM walaupun layak berbuat demikian, dengan lokasi tumpuan di sekitar Sungai Petani, Yan, Sik dan Baling. 

    Sehingga hari ini, sebanyak 14,819 syarikat dan premis perniagaan berdaftar dengan JDKM di Kedah dan 234 syarikat serta peniaga mendaftar dalam tahun ini. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " JKDM Kesan Syarikat Tipu GST "