• 'Jika diserang, Korea Utara serang balik AS'

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+
    NEW YORK: Korea Utara sedang bersiap sedia untuk menghadapi "sebarang bentuk peperangan" yang dicetuskan tentera Amerika Syarikat (AS), menurut amaran wakil khas Pyongyang ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

    Katanya, negara itu akan bertindak balas terhadap sebarang serangan berbentuk peluru berpandu atau nuklear.

    Kenyataan Timbalan Duta Korea Utara, Kim In-ryong itu dibuat susulan amaran daripada Timbalan Presiden AS, Mike Pence terhadap Pyongyang supaya tidak menguji pendirian negaranya itu susulan satu lagi pelancaran ujian peluru berpandu. 

    "Jika AS berani memilih untuk melakukan tindakan ketenteraan, DPRK bersedia untuk bertindak balas kepada sebarang bentuk peperangan yang dikehendaki AS, " kata In-ryong dalam satu sidang media. 

    "Kami akan mengambil tindakan paling tegas terhadap mereka yang melakukan provokasi," katanya. 

    Korea utara mengambil langkah 'mempertahankan diri' susulan ancaman tentera AS dan ini mencerminkan kesungguhan Pyongyang untuk "membalas sebarang serangan berbentuk senjata nuklear dan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM)," katanya. AFP.

    Subjects:

  • No Comment to " 'Jika diserang, Korea Utara serang balik AS' "