• Jawatankuasa Khas Kaji Syor Pelajar Dibenar Bawa Gajet

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan tubuhkan Jawatankuasa Kerja untuk membuat kajian berhubung syor menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, untuk membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohd Yusof, menegaskan kajian kesesuaian penggunaan peralatan itu hanya terhad untuk tujuan membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PDP). 

    "Kita juga sedang merangka balik dan menyemak semula mengenai pemberian gajet di sekolah, ia akan turut membabitkan keputusan dasar dan buat masa ini, kita terbuka dengan sebarang cadangan selaras dengan kehendak semasa. 

    "Kita mahu memastikan macam mana kita boleh membantu pihak sekolah dengan membenarkan murid itu sendiri (bawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah) dengan kebenaran ibu bapa dan juga bagaimana kawalan peringkat sekolah untuk membawa peranti atau gajet dalam pembelajaran. 

    "Anggota Jawatankuasa Kerja ini belum dipilih lagi, minggu ini baru diumumkan dan esok kita ada mesyuarat operasi, tempoh masa yang diberikan dua bulan dan dalam tempoh ini, jika benar-benar mungkin, kita hendak laksanakan segera," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini. 

    Beliau berkata demikian mengulas syor Mahdzir semalam mengenai mewujudkan dasar bagi membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah bagi membantu proses PDP. 

    Mahdzir berkata, kini dasar peranti elektronik masih melarang pelajar membawanya ke sekolah tetapi kajian terperinci boleh buat kerana beliau berpendapat, elok sekiranya ia dibenarkan dibawa ke sekolah, seperti mana dasar yang diamalkan di beberapa negara termasuk Korea Selatan, Jepun dan Singapura. 

    Sementara itu, Khair menjelaskan ahli Jawatankuasa Kerja akan dipilih daripada kalangan mereka yang terbabit pada peringkat dasar pendidikan dan pihak yang ada kepentingan dalam kemajuan teknologi beretika. 

    Katanya, buat masa sekarang belum ada lagi kebenaran untuk bawa peranti sendiri ke sekolah tetapi pihak kementerian ada membekalkan tablet menerusi program '1 murid 1 device' tapi tidak semua yang mendapatnya. 

    "Pada pandangan saya, kalau dapat membantu usaha meningkatkan lagi pembelajaran, meningkatkan penguasaan teknologi dalam kalangan murid-murid dan dapat digunakan sebaik mungkin dengan etika serta adab yang betul, kita mengalu-alukan," katanya. - BH
  • No Comment to " Jawatankuasa Khas Kaji Syor Pelajar Dibenar Bawa Gajet "