• Jangan Jadi Projek 'Gajah Putih' - Azizulhasni

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+
    Image result for azizulhasni awang
    NILAI: Raja keirin dunia, Azizulhasni Awang berharap Velodrom Nasional Nilai tidak akan menjadi projek 'gajah putih' dan mahu fasiliti berkenaan menjadi pentas mencungkil bakat tempatan seterusnya melahirkan lebih ramai juara dunia. 

    Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai Jijoe berkesempatan menguji trek sepanjang 250 meter itu selama kira-kira setengah jam buat julung kalinya bersama pelumba daripada Program Kita Juara, sebentar tadi. 

    Mengulas mengenai velodrom yang berada dalam Kelas 1 UCI itu, Azizulhasni berkata, dia berpuashati dengan trek berkenaan apatah lagi ia mempunyai tandatangannya di garisan penamat. 

    "Bagus, biarpun trek masih belum siap sepenuhnya (berdebu) tetapi saya dapat rasakan kepantasan trek ini," kata Azizulhasni selepas menguji trek berkenaan. 

    "Maklum balas daripada yang lain juga baik, laju seperti trek di Hong Kong. Selekoh juga baik dan saya ada cuba bermain di selekoh untuk menguji momentum. 

    "Secara keseluruhannya, saya boleh katakan yang kita mempunyai salah sebuah (velodrom) yang terbaik di dunia." 

    Minggu lalu, Azizulhasni muncul juara acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong selepas mula menyertai kejohanan berprestij itu, 10 tahun lalu. 

    "Bagi saya, sudah tentu di Malaysia kita mempunyai ramai bakat. Takkan Azizul yang kecil ini boleh jadi juara dunia dan yang di luar sana tak boleh jadi lebih bagus daripada saya? 

    "Saya percaya ramai di luar sana yang ingin menjadi pelumba basikal bertaraf dunia. Tapi mungkin tak ada peluang atau sebelum ini tidak mempunyai fasiliti yang bagus seperti ini. 

    "Sekarang sudah ada (velodrom), jadi sekarang ia berkisar bagaimana kita nak memaksimumkan kegunaannya supaya tidak menjadi fasiliti gajah putih," kata Azizulhasni yang dijadual kembali ke Melbourne Sabtu ini untuk meneruskan latihannya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan Jadi Projek 'Gajah Putih' - Azizulhasni "