• Isu Petronas, Rakyat Keliru Kerana Ramai Jurucakap

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+


    Bagi rakyat Sarawak, apa saja isu yang membabitkan syarikat Petronas merupakan perkara yang sentiasa menarik perhatian umum. Apatah lagi ianya melibatkan hak negeri yang sangat berkait rapat dengan sentiment kenegerian ketika ini.

    Namun akibat terlalu ramai yang bertindak sebagai jurucakap, rakyat mungkin keliru dalam mengetahui apakah isu sebenar sedang dihadapi kerajaan yang memerintah berkenaan isu terbabit.

    Bahana kekeliruan itu pastinya tertumpu pada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, sehingga timbul persoalan; Mengapa Abang Jo tidak kecewa?, ketika ramai pemimpin lain samada dari Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang sama-sama melahirkan kekecewaan serta mengecam Petronas.

    Abang Jo malah meminta semua pihak bersikap rasional sebagai reaksi kepada suara-suara kekecewaan itu.

    “Kita perlu rasional (dalam rundingan) jika mereka (Petronas) belum mampu memberi (apa yang diminta), buat masa ini kita ada pilihan lain termasuk meningkatkan penyertaan kita dalam industri hiliran dan proses cari gali," kata Abang Jo dipetik Utusan Borneo

    Namun jika dilihat pada komen-komen terdahulu dari beberapa pemimpin negeri, semua membayangkan seolah-olah usaha rundingan Kerajaan Sarawak dengan Petronas telah menemui kegagalan.

    Sebab itu ramai yang tertanya, mengapa hanya Abang Jo yang tidak melahirkan kecewaan sehingga ada yang beranggapan Abang bersikap sambil lewa dalam isu yang terlalu serius berkaitan hak-hak Sarawak.

    Sejak dua minggu lepas, isu itu dilambung sebuah NGO tempatan dan disambut oleh PKR Sarawak, disuarakan semula oleh Datuk Abdul Karim dan dilambung semula oleh Abdullah Saidol.

    Ketika pemimpin tersebut saling melambung bola tanggung, tiba-tiba pada Majlis MOU Projek Metanol Kidurong, Abang Jo melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Petronas kerana telah bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sarawak berkaitan projek itu.

    Abang Jo dipetik sebagai berkata, beliau telah berunding dengan pihak Petronas supaya kawasan Kidurong menjadi kluster kilang-kilang yang berasaskan kepada gas kerana ia akan memberi impak positif kepada industri di Malaysia terutama Sarawak dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada Sarawak untuk bersaing dalam industri minyak dan gas.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih pada Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak dan pihak Petronas kerana telah dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak kerana projek seperti ini dapat memberi impak yang besar dalam membangunkan ekonomi kita bersama…,” katanya dipetik akhbar tempatan.

    Berdasarkan kenyataan itu, dapat dibayangkan betapa banyak rundingan serta kerjasama dicapai antara Pertronas dan Kerajaan Sarawak, tidak hanya tertumpu pada isu royalti semata-mata.

    Melihat kepada kronologi ini, rakyat biasa jelas keliru akibat terlalu ramai pihak yang bertindak sebagai jurucakap. Samada perlu menjiwai kekecewaan pemimpin terbabit, atau berkongsi penghargaan yang dibuat Ketua Menteri.

    Rakyat biasa sudah tentu tidak mampu memahami orang politik, tapi mereka perlu tahu apakah situasi sebenar yang berlaku.

    Terlalu ramai jurucakap, hanya akan mengelirukan rakyat. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Petronas, Rakyat Keliru Kerana Ramai Jurucakap "