• Hishamuddin Bukan Ambil Alih Tugas PM, TPM - Zahid

    Published: Wednesday, 19 April 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tugas baharu Datuk Seri Hishammuddin Hussein bukan mengambil alih tugas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tetapi melengkapi usaha serius kerajaan menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa.

    Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau yang mencadangkan nama Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

    "Cadangan itu dibuat oleh saya kepada Perdana Menteri kira-kira tiga bulan lalu dan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin tidak ada dalam mesyuarat.

    "Ini adalah satu pancaran keikhlasan saya secara peribadi dan rasmi kepada Datuk Seri Hishammuddin kerana kami bertiga (termasuk Perdana Menteri) pernah menjadi Menteri Pertahanan dan tahu banyak tugas lain yang perlu dilakukan, " katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan di pejabatnya di Perdana Putra di sini, hari ini.

    Ahmad Zahid berkata, beliau dan Hishammuddin membincangkan beberapa tugasan pada pertemuan berkenaan, antaranya untuk memperkukuh institusi kepemimpinan kerajaan dan parti.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata, kunjungan berkenaan membuktikan hubungan erat beliau dan Ahmad Zahid serta mengakui selesa untuk bekerja bersama di bawah portfolio baharunya.

    Menyentuh tugasnya untuk membantu Perdana Menteri memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Hishammuddin berkata, beliau berperanan melengkapkan tugasan yang sudah sedia ada. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Hishamuddin Bukan Ambil Alih Tugas PM, TPM - Zahid "