• Hishammuddin Sedia Disiasat Jika Ada Bukti Rasuah

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Dalam memastikan Kementerian Pertahanan (Mindef) bebas rasuah, menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau tidak akan berkompromi malah bersedia dirinya disiasat sekiranya terdapat bukti penglibatan beliau dalam rasuah di kementerian itu.

    Beliau berkata laporan boleh dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada bukti penglibatannya dalam rasuah.

    “Kalau ada bukti-bukti berhubung kait saya dengan rasuah, laporkan kepada SPRM.

    “Saya sendiri sanggup berdepan apa sahaja kalau ada bukti ... kerana kedudukan saya ini bukan kerana Datuk Seri Hishammuddin tetapi sebagai Menteri Pertahanan untuk menjaga pertahanan dan keselamatan negara ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bacaan ikrar bebas rasuah sempena perhimpunan bulanan Mindef di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di sini, semalam.

    Dalam pada itu, Hishammuddin menyifatkan warga Mindef yang terbabit dengan rasuah sebagai penderhaka serta pengkhianat kepada bangsa dan negara.

    “Hal ini bukan sahaja tidak bermoral malah menjatuhkan maruah dan integriti warga Mindef serta boleh memberi kesan kepada kesalamatan negara.

    “Bab ini (rasuah) saya tidak akan berkompromi dan saya berharap bahawa kita sedar kedudukan dalam Mindef, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan syarikat industri pertahanan yang dapat kontrak besar (daripada Mindef) supaya berintergriti tinggi.

    Dalam perkembangan lain, semasa diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Umno bersedia menerima semula bekas anggota yang meninggalkan parti, Hishammuddin yang juga Naib Presiden parti berkata keputusan berkenaan perlulah dibuat di peringkat tertinggi Umno.

    “Kita boleh terima sesiapa sahaja tetapi keputusan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi Umno. Sebab itu kita perlu gunakan saluran tertentu untuk mendapatkan maklum balas sama ada mereka diterima atau tidak.

    “Kerana parti, kita lihat secara kolektif. Apa jua keputusan mesti merupakan keputusan kolektif kerana kebertanggungjawaban kolektif juga perkara penting dalam kekuatan Umno dan Barisan Nasional,” katanya.


    - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Hishammuddin Sedia Disiasat Jika Ada Bukti Rasuah "