• Harta Pengasas Skim Cepat Kaya Disita

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+


    BANGKOK: Polis Thailand menyita wang tunai, kenderaan dan hartanah bernilai jutaan baht daripada seorang wanita yang disyaki menjalankan skim cepat kaya yang aktif di seluruh negara.

    Polis memberitahu, pihak berkuasa merampas wang tunai berjumlah 3 juta baht (RM385,686) di dalam beberapa akaun bank, beberapa kenderaan dan sebuah apartmen milik Pasist Arinchalapis, 31, serta orang yang rapat dengan wanita itu.

    Pesuruhjaya di Biro Siasatan Pusat, Thitirat Nonghanpitak berkata, Pasist menyalurkan asetnya kepada individu lain yang bakal didakwa kerana pengubahan wang haram.

    Pasist atau dikenali sebagai Sin Sae Shogun dan lapan lagi suspek ditahan di wilayah Rayong pada 12 April lalu.

    Suspek ditangkap sehari selepas kira-kira 1,000 ahli skim itu terkandas di lapangan terbang Bangkok selepas penerbangan yang sepatutnya membawa mereka melancong ke Jepun sebenarnya tidak wujud.

    Semua mangsa termasuk seorang pelakon, Chatmongkol Bampen adalah ahli jualan syarikat Pasist yang terpengaruh dengan skim itu yang menawarkan pakej murah melancong ke luar negara.

    Skim itu yang dikenali sebagai Wealth Ever mendakwa menjual makanan kesihatan dan menawarkan pakej pelancongan sebagai insentif.

    Ahli juga ditawarkan komisen sekiranya berjaya membawa masuk ahli baru menyertai skim berkenaan.

    Polis menerima aduan daripada 300 ahli dan percaya masih ramai lagi yang terjebak dengan skim cepat kaya berkenaan.- Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Harta Pengasas Skim Cepat Kaya Disita "