• Golongan Muda Mahu Rakyat Lebih Dikenali Sebagai Bangsa Malaysia

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Golongan muda mahu melihat rakyat negara ini lebih dikenali melalui satu identiti iaitu bangsa Malaysia dalam tempoh 30 tahun akan datang, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata melalui lebih 20 siri dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diadakan di seluruh negara setakat ini, pihaknya juga mendapati golongan muda mahu tembok pemisah antara kaum diruntuhkan.

    "Mereka hendak melihat satu identiti yang lebih bersatu iaitu identiti sebagai bangsa Malaysia lebih meyerlah dari identiti kaum dan suku bangsa. Aspirasi ini bukan diperolehi hari ini sahaja tetapi banyak didengari dalam proses dialog (TN50) sebelum ini," katanya pada Siri Dialog TN50 di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, di sini Isnin.

    Turut hadir Menteri Pengangkutan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola kolej itu Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Khairy berkata golongan muda juga mahukan rakyat bukan sahaja hidup bertoleransi malah menghormati serta menghargai perbezaan antara kaum dan bangsa.

    Katanya siri dialog yang diadakan pada hari ini bertujuan mendapatkan pandangan dan input golongan muda daripada masyarakat Cina bagi membolehkan aspirasi rakyat Malaysia oleh semua kaum diambil kira dalam TN50.

    TN50 yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Golongan Muda Mahu Rakyat Lebih Dikenali Sebagai Bangsa Malaysia "