• Ganjaran Bukan Segalanya

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+
    Ganjaran Bukan Segalanya, Utamakan Kecemerlangan
    SEPANG – Ganjaran bukan segalanya bagi jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, yang sebaliknya mahu lebih fokus untuk lebih cemerlang dalam perjuangan di peringkat antarabangsa.

    “Bagi saya, wang ringgit adalah bonus. Jika anda mengejar prestasi, wang akan datang kepada anda,” kata Mohd Azizulhasni, 29, yang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman.

    Mohd Azizulhasni berkata fokus utamanya adalah untuk mencapai impian memenangi kejuaraan dunia dan pingat emas di Sukan Olimpik untuk Malaysia.

    Selepas menjuarai acara Keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong pada Khamis lepas, beliau berkata sekarang tinggal satu sahaja lagi impian yang perlu direalisasikan iaitu pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo.

    “Kalau nak jadi jutawan, saya sudah tukar sukan… mungkin main bola atau badminton tetapi saya meneruskan perjuangan ini demi mengejar impian dan cita-cita saya dalam sukan berbasikal demi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AirAsia, RedQ di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas ganjaran RM20,000 yang bakal diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan kerana berjaya meraih kejuaraan di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong itu.

    Mohd Azizulhasni yang memenangi jersi pelangi yang diidaminya merupakan salah seorang atlet negara di bawah inisiatif sukan AirAsia, The #DARETODREAM.

    Beliau turut melahirkan penghargaan kepada AirAsia yang memberi sokongan kepada industri sukan negara berkata inisiatif itu merupakan satu platform untuk mencungkil bakat dan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk berjaya dalam bidang sukan.

    Mohd Azizulhasni dalam pada itu mengakui bahawa ranking dunia beliau merosot disebabkan beliau tidak mengikuti kejohanan utama kerana mahu membuat persiapan untuk kejohanan dunia pada tahun ini.

    Beliau yang pernah menduduki ranking pertama di dunia bagi acara Keirin sebelum ini berkata beliau kini tidak fokus kepada ranking dunia sebaliknya menumpukan pada kejuaraan dunia.

    “Mungkin musim akan datang kita akan bertanding untuk mendapatkan mata dan masa itu baru bermula mengejar ranking dunia,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Azizulhasni menyokong baik usaha permohonan Institut Sukan Negara (ISN) untuk membeli peralatan Terowong Angin yang berfungsi membantu meningkatkan prestasi pelumba basikal.

    “Negara-negara Eropah sudah menggunakan teknologi Terowong Angin ini. Saya yakin sekiranya kita mempunyai teknologi sukan seperti Terowong Angin ini ia memberi peluang kepada pelumba-pelumba basikal negara untuk memaksimumkan peluang untuk mencatatkan kecemerlangan, khususnya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti,” katanya.

    Mengenai sesi mencuba Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos ini, Mohd Azizulhasni berkata sesi itu akan diadakan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat sebelum beliau kembali ke Melbourne untuk sesi latihan seterusnya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ganjaran Bukan Segalanya "