• 'Furious 8' Hampiri Kutipan Pecah Panggung Tertinggi

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+


    LOS ANGELES: Filem 'The Fate of the Furious 8' mencatat jualan kurang AS$100 juta (RM440.45 juta) di Amerika Syarikat (AS) untuk tayangan permulaan hujung minggu lalu namun berjaya memecah rekod pembukaan di peringkat global.

    Pemantau industri, Exhibitor berkata, siri kelapan filem aksi dibintangi Vin Diesel, Dwayne Johnson, Michelle Rodriquez dan Jason Statham itu meraih jualan AS$98.8 juta (RM435.16 juta) di Amerika Utara.

    Ia adalah penyusutan ketara berbanding AS$147.2 juta (RM648.34 juta) yang direkod ketika tayangan permulaan siri terdahulu "Furious 7" pada 2015.

    Namun prestasi kukuh filem baharu itu di luar AS dengan jualan AS$432.3 juta (RM1.90 bilion) di 63 negara membolehkannya mengatasi rekod antarabangsa "Jurassic World" dengan rekod tayangan pembukaan dunia sebanyak AS$316.7 juta (RM1.39 bilion).

    Ia termasuk pendapatan AS$190 juta (RM836.85 juta) di China, menjadikannya rekod tayangan pembukaan terbesar filem di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

    Keadaan itu membolehkan tayangan pembukaan global keseluruhan 'The Fate of the Furious' mencecah AS$532 juta (RM2.34 bilion) sekali gus memecahkan rekod terdahulu AS$529 juta (RM2.32 bilion), dipegang filem "Star Wars: The Force Awakens" pada 2015.

    "Ia satu petunjuk bahawa filem membabitkan sukan kereta dan kekeluargaan kian berkembang di peringkat global," kata penyunting kanan filem dan media majalah Variety, Brett Lang. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 'Furious 8' Hampiri Kutipan Pecah Panggung Tertinggi "