• Bekas Ratu Cantik Saman United Airlines

    Published: Monday, 17 April 2017
    A- A+


    BEKAS ratu cantik Miss Venezuela 1984, Carmen Maria Montiel telah menyaman syarikat penerbangan United Airlines selepas didakwa mengasarinya dan menggarinya tangannya ketika menaiki pesawat berkenaan pada 2013.

    Carmen mendakwa dia diseret ke belakang pesawat selepas bergaduh dengan suaminya ketika itu, Alex Lechin. Mereka kini telah bercerai.

    Perkara berkenaan didedahkan selepas United Airlines telah dikecam hebat susulan insiden seorang doktor, David Dao diseret dengan ganas hingga berdarah dari pesawat, minggu lepas.

    “Saya tidak pernah berasa sangat lemah dalam hidup,” kata Carmen. Ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Bogota dari Houston bersama anak perempuannya dan Lechin.

    Pada masa itu hubungan Carmen dan Lechin sedang berantakan dan mereka dalam proses mahu bercerai.

    Jelasnya, ketika itu dia telah meminta pramugara pesawat tersebut, Samuel Oliver untuk mendapatkan bantal namun dimaklumkan pesawat itu tidak lagi menyediakan bantal kepada penumpang.

    Carmen kemudiannya cuba meletakkan kepala ke atas bahu suaminya, namun lelaki itu menamparnya dan memberitahu kakitangan pesawat bahawa Carman cuba memasuki ruang tempat duduknya.

    “Oliver meminta saya berpindah ke bahagian lain dalam pesawat, tapi saya enggan dan tidak lama kemudian dua lelaki telah datang serta menggari tangan saya dan mengangkat bahu saya.

    “Saya ditempatkan di di sebelah seorang anggota polis yang tidak bertugas ketika itu dan apabila pesawat mendarat, saya telah ditangkap dan berdepan dengan tuduhan cuba membuat kacau dengan kru penerbangan,” katanya.

    Carmen kini menuntut sejumlah wang daripada United Airline atas dakwaan berniat jahat, penderitaan mental dan fitnah. Saman dikemukakan di mahkamah Houston.

    Minggu lepas, Dr. David Dao telah diheret dengan ganas hingga berdarah di bahagian mulut kerana enggan melepaskan tempat duduknya dalam pesawat United Airlines.

    Kejadian berkenaan telah dirakamkan dan menjadi viral. Ia mengakibatkan saham syarikat penerbangan terbabit jatuh menjunam.

    Dr. David, yang berasal dari Vietnam juga telah mengemukakan tuntutan saman ke atas United Airlines. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Ratu Cantik Saman United Airlines "