• Azlan Shah Juara Perlumbaan ARRC Kategori SS 600 Pusingan Kedua Di Thailand, Zaqhwan Zaidi Ketiga

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+
    Hujung minggu lalu telah berlangsung perlumbaan pusingan kedua dalam siri Asia Road Racing Championship (ARRC) di litar Antarabangsa Chang, Thailand. Dalam kategori SS 600, pelumba dari Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman menunjukkan prestasi cemerlang apabila merangkul tempat pertama dalam dua perlumbaan untuk pusingan kedua ini.

    Dalam perlumbaan pertama yang berlangsung pada hari Sabtu, Azlan Shah yang menunggang jentera Kawasaki ZX-6R dicabar sengit oleh pelumba pasukan Yamaha Thailand, Chalermpol Polamai namun berjaya mengekalkan kedudukan di tempat pertama dalam perlumbaan 16 pusingan itu (dipendekkan atas pelbagai insiden lain).


    Masuk pada hari berikutnya, dalam perlumbaan kedua, Azlan Shah terus fokus dan berada di kelompok pertama dari awal perlumbaan dan bersaing rapat dengan Anthony West dari Australia dan Decha Kraisart dari Thailand. Saingan di antara tiga pelumba ini cukup menarik sehingga beberapa kali mereka bertukar tempat dengan pintasan yang mendebarkan.

    Pada pusingan terakhir, Azlan Shah berjaya memotong Decha untuk mendapatkan tempat kedua, dan apabila tiba waktu membrek, Decha terlajak, seterusnya membuatkan West dan Azlan Shah masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua. Walaubagaimanapun, pihak penganjur telah membatalkan kemenangan West kerana beliau telah melanggar prosedur teknikal tertentu. Secara automatik, Azlan Shah diangkat sebagai juara, dan rakan senegara, Zaqhwan Zaidi yang menunggang untuk pasukan Musashi Boon Siew Honda merangkul tempat ketiga.

    Azlan Shah kini berada paling atas di dalam senarai pelumba kategori SS 600 dengan kutipan 83 mata, diikuti oleh Taiga Hada dengan 55 mata dan Zaqhwan dengan 54 mata. Pusingan seterusnya ARRC akan berlangsung di Litar Suzuka Jepun pada 3 dan 4 Jun, dan diharapkan pelumba Malaysia akan terus menunjukkan prestasi cemerlang. - Paultan

    Subjects:

  • No Comment to " Azlan Shah Juara Perlumbaan ARRC Kategori SS 600 Pusingan Kedua Di Thailand, Zaqhwan Zaidi Ketiga "