• Aliran Dana Asing Ke Malaysia Dijangka Meningkat

    Published: Friday, 21 April 2017
    A- A+
    Image result for affin hwang capital logo
    KUALA LUMPUR: Affin Hwang Asset Management Bhd menjangkakan peralihan beransur-ansur aliran dana ke Malaysia akan membantu meningkatkan pasaran saham tempatan. 

    Ketua Pegawai Pelaburan, David Ng, berkata selepas mengalami penurunan ketara sejak November tahun lalu, aset ringgit dilihat sebagai agak murah dan menarik, terutamanya daripada perspektif pelabur asing. 

    Bagaimanapun, beliau berkata ringgit dilihat bertambah baik dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila arah aliran mengukuh dolar AS semakin mereda. 

    "Keyakinan pasaran terhadap Presiden AS Donald Trump semakin merosot dan keupayaan beliau untuk melaksanakan pembaharuan utama pada masa depan semakin diragui," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

    Pada peringkat serantau, beliau berkata terdapat banyak peluang di Asia terutamanya dalam sektor infrastruktur. 

    "Kami percaya prestasi infrastruktur sedang berkembang pesat di Asia. Ini sesuatu yang positif bagi pertumbuhan ekonomi Asia dalam jangka masa panjang," katanya. 

    Katanya, memandangkan momentum kukuh di rantau ini, beberapa penurunan dijangkakan dalam tempoh terdekat yang mana ia sesuatu yang sihat bagi pasaran secara umumnya. 

    Satu lagi peristiwa penting yang perlu dipantau pada bulan-bulan mendatang ialah dasar perlindungan perdagangan Trump yang memberi risiko kepada rantaian bekalan Asia, katanya. 

    "Pertikaian perdagangan AS-China boleh memberi kesan kepada ekonomi Asia dan mencetuskan kebimbangan di rantau ini," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Aliran Dana Asing Ke Malaysia Dijangka Meningkat "