• 5 Maut, Pesawat Hempap Trak

    Published: Tuesday, 18 April 2017
    A- A+

    TIRES (PORTUGAL): Lima orang maut selepas sebuah kapal terbang ringan terhempas di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di bandar ini semalam.

    Menurut media tempatan, beberapa saksi memberitahu, pesawat berkenaan meletup di udara sebelum terhempas di tempat letak kereta pasar raya Lidl.

    Pesawat berkenaan dilaporkan terhempas di atas sebuah trak yang sedang memunggah barangan ke dalam pasar raya itu.

    Pihak berkuasa memberitahu, lima mangsa termasuk pemandu trak berkenaan terbunuh dalam kejadian itu.

    Beberapa buah kereta dan sekurang-kurangnya sebuah rumah di lokasi kejadian dilaporkan terbakar.

    Rakaman video dan gambar yang diambil orang ramai menunjukkan asap tebal menjulang ke angkasa dari lokasi nahas.

    Seorang saksi memberitahu, dia melihat pesawat itu jatuh dan terus terhempas di pasar raya berkenaan.

    “Tidak lama selepas itu saya melihat api yang marak dan asap tebal menjulang ke langit dari lokasi nahas,” katanya.

    Temapt pesawat itu terhempas terletak kira-kira 150 meter dari sebuah sekolah.

    Pesawat jenis Piper PA-31TR Cheyenne II yang didaftarkan di Switzerland dilaporkan berlepas dari Geneva tiga hari lalu dan berhenti di Marseille, Perancis sebelum meneruskan perjalanan ke Tires.

    Juruterbang pesawat itu dipercayai warga Perancis dan ada laporan mendakwa semua penumpangnya rakyat Switzerland.

    Sehingga malam tadi belum ada kenyataan rasmi pihak berkuasa Portugal mengenai punca nahas berkenaan dan identiti mangsa yang terbunuh.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " 5 Maut, Pesawat Hempap Trak "