TMJ Kekal Pilihan FAS Jadi Presiden FAM


KUCHING: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) lebih berminat dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menjadi presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presidennya, Dato Posa Majais berkata, antara faktor yang menyebabkan FAS lebih berminat dengan TMJ disebabkan pemilik kelab Johor Darul Taazim (JDT) itu mempunyai visi jelas untuk memajukan bolasepal negara.

Selain itu menurutnya, kemampuan TMJ juga terbukti dengan kejayaan mentransformasikan JDT menjadi kuasa baharu bola sepak negara dan Asia Tenggara.

"Kita menyokong penuh TMJ sebagai presiden FAM.

"Ini kerana TMJ mempunyai visi jelas yang mampu menaikkan mutu bola sepak negara," katanya.

Beliau menjelaskan, FAM sebelum ini seperti tidak menghiraukan pengurusan bola sepak di Sarawak dan Sabah.

"Sepatutnya kita dan pasukan jiran (Sabah) mendapat peruntukan lebih besar berbanding pasukan lain.

"Ini kerana kita terpaksa menampung perbelanjaan besar ketika beraksi di gelanggang lawan terutama melibatkan kos penerbangan," ujarnya.

Bernama sebelum ini melaporkan pemilihan untuk jawatan presiden FAM bakal menyaksikan persaingan sengit diantara TMJ dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika mengesahkan perkara itu berkata dua lagi calon, iaitu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat telah menarik diri.

"TMJ dan Annuar merupakan dua calon yang telah mengesahkan pencalonan sehingga tarikh tutup iaitu pada jam 5 petang ini (semalam). Bagaimanapun pencalonan ini akan di teliti dalam Mesyuarat Exco pada 20 Februari ini," katanya

Pemilihan FAM akan diadakan pada Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Hamidin berkata TMJ dan Annuar boleh menarik diri daripada pertandingan itu sehingga kongres dijalankan.

Sementara itu, pertandingan bagi jawatan dua timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan diantara empat calon, manakala bagi empat jawatan naib presiden, sebanyak sembilan calon akan bertanding.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA