• Sebar Kenyataan Palsu CM, Satu Cubaan Pelacur Politik - Abdullah

    Published: Wednesday, 15 February 2017
    A- A+

    KUCHING: Tindakan pihak tertentu menyebar ucapan palsu kononnya dikeluarkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merupakan satu cubaan berterusan pihak tidak bermaruah yang bertujuan memecahbelahkan rakyat.

    Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, tidak benar dan tidak pernah Ketua Menteri mengeluarkan kenyataan seperti itu samada secara bertulis atau melalui ucapan terbuka.

    "Ini adalah cubaan berterusan "Pelacur Politik" yang tidak bermaruah bertujuan untuk melaga-lagakan kepimpinan Negeri Sarawak dengan kerajaan Persekutuan," ujarnya

    Menurutnya, dalam perundingan atau perbincangan dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak bersikap serius dan tegas tetapi tidak sesekali akan mengambil pendekatan yang kasar atau biadap.

    "Masyarakat kita ada kesopanan dan berhemah.

    "Kumpulan pemfitnah politik ini ingin melihat kita berpecah belah dan berburuk-sangka supaya mereka mencapai misi politik mereka yang cetek dan rapuh," katanya

    Beliau berkata, kita harus sentiasa berhati-hati dan berfikiran matang, budaya fitnah dan putar-belit dalam politik semakin menjadi-jadi.

    Abdullah yang juga Pengerusi BNBBC Sarawak menegaskan undang-undang yang ada harus digunakan dengan tegas untuk memastikan pihak sentiasa bersikap ingin melihat perpecahan dan kacau-bilau diambil tindakan serius.

    "Mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat kepada hak serta keinginan kita semua untuk menikmati keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk. Dalam apa keadaan sekali pun, kita mesti bersatu dalam kepelbagaian pendapat," tegasnya.

    Abdullah berkata demikian ketika menafikan satu kenyataan palsu yang tersebar di media sosial mengaitkan Ketua Menteri.

    Kenyataan palsu tersebut antara lain menyebut Ketua Menteri telah mengarahkan semua media cetak dan elektronik agar menamakan Sarawak sebagai "negara". - Sarawakiana


  • No Comment to " Sebar Kenyataan Palsu CM, Satu Cubaan Pelacur Politik - Abdullah "