• RM100 Bilion Wang Rakyat Setiap Tahun Jadi ‘Milik’ Penjawat Awam

    Published: Tuesday, 14 February 2017
    A- A+


    Kerajaan perlu mempertimbangkan langkah memperkecilkan kakitangan perkhidmatan awam sementara ia masih boleh dilakukan, kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

    Katanya, kerajaan Malaysia mempunyai kira-kira 1.6 juta kakitangan atau 11 peratus daripada tenaga kerja iaitu antara yang tertinggi di rantau Asia Pasifik.

    Memberitahu forum Persatuan Ekonomi Malaysia di sini hari ini, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi berkata, Malaysia tidak mampu untuk mengekalkan jumlah tenaga kerja ini jika berdepan dengan krisis kewangan.

    Malah katanya, jika kerajaan terus mengekalkan defisit tiga peratus, langkah pemberhentian kakitangan sektor awam perlu dikaji, terutama mereka di peringkat rendah, bagi mengurangkan perbelanjaan.

    “Birokrasi kerajaan telah berkembang begitu pesat yang bukan sahaja mengambil terlalu banyak sumber, tetapi juga mewujudkan banyak kegagalan dalam sektor ekonomi dan kewangan,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan kerajaan Malaysia mula mengecilkan sektor perkhidmatan awam lebih awal sebelum terlambat, jika mahu mengelak risiko seperti berlaku di Greece, di mana negara Eropah terpaksa memotong gaji dan gagal membayar pencen perkhidmatan awam.

    Memberi contoh langkah penyusunan semula Penerbangan Malaysia di mana 6,000 pekerja diberhentikan, Mohd Sheriff berkata, adalah lebih baik sekarang ini memberhentikan kakitangan awam dengan menyediakan pakej pampasan, sementara kerajaan masih mampu berbuat demikian.

    “Ia mungkin menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan kos yang besar sekarang, tetapi ia berbaloi untuk dilakukan sementara kita boleh. Tidak menjadi seperti Greece yang berdepan krisis kewangan yang teruk,” katanya.

    Kerajaan dijangka membelanjakan sehingga RM76 bilion untuk gaji dan elaun kakitangan perkhidmatan awam tahun ini, selain RM21 bilion untuk pencen.-tv14

    Subjects:

  • 1 comment to ''RM100 Bilion Wang Rakyat Setiap Tahun Jadi ‘Milik’ Penjawat Awam"

    ADD COMMENT
    1. Saya sangat bersetuju dgn cadangan ini,kecuali kakitangan awam mengubah minda mereka dengan meningkatkan produktiviti,bersikap mesra pelanggan dan menolak rasuah.

      ReplyDelete