• PRU14: Kedudukan PKR Lebih Terancam

    Published: Wednesday, 15 February 2017
    A- A+



    SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat dalam situasi terkini politik Selangor, kedudukan PKR dilihat lebih terancam berbanding Pas.

    Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib, berkata, jika pengundi Pas menarik sokongan ke atas Pakatan dan tidak mahu mengundi PKR, maka parti itu akan hilang banyak kerusi.

    Kini di Selangor katanya, parti yang benar-benar kukuh dan boleh meraih kerusi di Dun adalah DAP, Pas dan Umno.

    "PKR dan Amanah akan berhadapan krisis hanyutan sokongan rakyat terutama dari kalangan orang Melayu kerana sikap mereka yang melebihkan DAP serta meminggirkan Pas.

    "Saya ramalkan selepas PRU14 akan berlaku senario kedudukan kerusi Dun yang rumit untuk menubuhkan kerajaan negeri dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali serta PKR akan tinggal kenangan sahaja," katanya.

    Md Shukri berkata, jika DAP mahupun Amanah yang dilihat seolah penyokong kuat DAP gagal berkompromi dengan Pas Selangor, maka PKR akan jadi mangsa hilang kerusi di Dun termasuk hilang kerusi menteri besar (MB).

    "Eloklah jika kerusi MB Selangor diberikan peluang kepada Pas jika Umno dapat bekerjasama dengan parti itu.

    "Cabaran Pas Selangor kepada Amanah untuk memberanikan diri bertanding di kerusi Pas adalah cabaran agar parti itu lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada ihsan serta sokongan DAP sahaja," katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, penegasan Khairuddin sekiranya Amanah ingin meneruskan niat untuk berdepan pertandingan tiga penjuru hanya akan memberi kemenangan mudah kepada BN mempunyai asasnya.

    Menurutnya, jika berlaku pertandingan tiga penjuru sekalipun, ia hanya akan mengukuhkan dominasi DAP di Selangor mewakili Pakatan dan Pas pula akan kekalkan beberapa kerusi, manakala BN menerusi Umno akan menang beberapa kerusi tambahan.

    Katanya, jika Pas dan Umno bekerjasama membentuk kerajaan baru Selangor pun tiada masalah.

    "Soal satu lawan satu pula hanya sebuah teori dan impian politik sahaja, ia bukan satu ketetapan.

    "Parti-parti yang wujud ada agenda dan perjuangan tersendiri. Perbezaan itu jika ketara maka tidak akan wujud satu kesepakatan dan perbezaan inilah yang menjadi punca pertentangan antara Pas dan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR serta Amanah," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " PRU14: Kedudukan PKR Lebih Terancam "