#PRKTjgDatu : Usahakan Tanah, Jangan Jual



SUNGAI LIMO : Gesaan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg agar masyarakat bumiputera tidak menjual tanah jika sudah memiliki geran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah sesuatu yang tepat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Abang Jo telah mengarahkan Jabatan Tanah Dan Servei menyukat semula tanah NCR adalah untuk kepentingan penduduk semata-mata agar rakyat mampu hidup dengan selesa.

"Pengumuman Abang Jo adalah satu inisiatif yang inginkan penduduk memiliki tanah dan akan memberi hasil kepada generasi akan datang.

"Peringatan agar tanah tersebut tidak dijual kerana kerajaan mahu penduduk mengusahakan tanah tersebut agar ia mampu menjana sumber pendapatan hidup sampai bila-bila," katanya ketika berucap di Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini sebentar tadi.

Uggah yang juga Menteri permodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar menyarankan agar penduduk mengusahakan tanaman yang berpotensi dan sebaiknya dilakukan dengan cara berskala besar bersama penduduk kampung.

"Penduduk harus bijak mencari peluang yang telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) agar tanah tersebut dimajukan dengan pelbagai tanaman yang berpotensi menjana pendapatan.

"Pintu kementerian sentiasa terbuka untuk penduduk bertanya dan mendapat maklumat tentang pertanian yang sesuai untuk mereka," ujarnya.

Tambah Uggah, penduduk seharusnya bekerjasama dengan kerajaan agar kerajaan dapat membangunkan masyarakat terutama dalam bidang pertanian. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA