• #PrkTjgDatu: Turun Mengundi Beramai-ramai 18 Februari Ini

    Published: Thursday, 16 February 2017
    A- A+

    Tinggal dua hari sahaja lagi penduduk kawasan N.3 Tanjong Datu akan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu.

    Cakap-cakap di kedai kopi juga banyak berkisar kepada hari pengundian yang berlangsung 18 Februari ini.

    Turut disentuh jasa dan pengorbanan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang menjadi ADUN Tanjong Datu sejak 2006.

    Patah tumbuh hilang berganti, pengganti Allahyarham Adenan perlu dicari ganti dan tanggungjawab ini digalas sepenuhnya pengundi untuk menentukan wakil rakyat yang akan menyuarakan masalah serta keperluan mereka.

    Turun mengundi adalah jawabnya jika mahu suara mereka didengari pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Sabtu ini merupakan penentuan bagi meneruskan legasi Allahyarham Adenan terutama melibatkan pelbagai perancangan pembangunan di Tanjong Datu.

    Peluang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu begitu cerah, namun majoriti undi perlu ditingkatkan untuk mengukuhkan cengkaman.

    Parti lawan menerusi Parti Reformasi Sarawak (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) sudah pasti tidak mahu hilang deposit.

    Apa yang diharapkan peratusan turun mengundi ditingkatkan agar proses pengundian dapat dilaksanakan secara total.

    Biarpun menyedari kemenangan mampu diraih, jentera BN dilihat lebih bekerja keras berbanding STAR dan PBDSB.

    PRK N.3 Tanjong Datu menyaksikan BN menurunkan Datuk Amar Jamilah Anu sebagai calon, STAR (Johnny Aput) dan PBDSB (Rapelson Richard Hamit).

    Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lepas.

    Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tahun lalu, Adenan mempertahankan kerusi Tanjong Datu dengan kemenangan selesa, majoriti undi 6,360 mengatasi calon PKR Jazolkipli Numan yang hanya meraih 468 undi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRK Tanjong Datu pada 18 Februari. - Sarawakiana
  • No Comment to " #PrkTjgDatu: Turun Mengundi Beramai-ramai 18 Februari Ini "