#PrkTjgDatu 'Tsunami kecil' Bakal Beri BN Kemenangan Besar

Foto: Muhd Zaaba Zakeria


SEMATAN: Calon Barisan Nasional (BN), Puan Sri Jamilah Anu, dijangka mampu mewujudkan 'tsunami kecil' dengan menyapu lebih 90 peratus undi membabitkan 15 kawasan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, pada 18 Februari ini.

Situasi berkenaan juga berisiko menyebabkan dua lagi lawannya, Johnny Aput dari Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), hilang deposit.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr Jeniri Amir, berkata secara realitinya, Jamilah tidak akan menerima tentangan sengit, malah kehadiran dua calon pembangkang tidak berupaya memecahkan undi pada skala besar.

"Sokongan pengundi terhadap bekas penyandang, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, akan beralih arah kepada Jamilah pula. Pengundi dilihat mempunyai keyakinan kepada calon berkenaan atas faktor peribadi yang peramah dan mesra rakyat.

"Paling utama, Jamilah adalah individu terdekat yang memahami aspirasi Adenan dalam usaha memajukan kawasan Tanjong Datu, sekali gus memberi manfaat kepada 34,576 penduduknya," katanya di sini, hari ini.

Jeniri berkata, faktor pertama kali dicalonkan sebagai wakil BN pada pilihan raya bukan kekurangan Jamilah kerana beliau terkenal dalam kalangan pengundi di Tanjong Datu.

"Jamilah ada aura tersendiri, itu adalah faktor 'X' yang tidak boleh dinafikan," katanya. Seramai 9,771 pengundi di Tanjong Datu akan memilih wakil mereka pada Sabtu ini dengan keputusan awal boleh diketahui seawal jam 8 malam. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA